Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh
En Thani bin Syaaban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Kuala Lumpur pada 27
Jun 1987. Pada mulanya pasukan ini dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia
(KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-pelajar Islam
SMRA (PERWIRA). Keahliannya seramai 20 orang sahaja iaitu terdiri daripada
pelajar tingkatan 1 dan 2. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan
pelajar cemerlang yang BERILMU, BERIMAN dan BERAMAL, berakhlak mulia,
bersemangat patriotik, berketerampilan selaras dengan usaha dan hasrat mengisi
tuntutan Falsafah Pendidikan NEGARA ke arah Wawasan 2020.
Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit
Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Setiap aktiviti yang
dijalankan berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN (AD DEEN). Mulai tahun 1989
beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan telah menubuhkan KPIM. Pada 1993
sebanyak 53 buah Sekolah Menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM.
Usaha menubuhkan KPIM secara rasmi dan bernaung di bawah Kementerian Pendidikan
Malaysia telah dimulakan pada 10 Ogos 1993. Satu pertemuan telah
diadakan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid bin Wan Mohd
Nordin iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Di dalam
pertemuan ini tesis KPIM telah dibentangkan. Hasilnya sebuah jawatankuasa kecil
dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet. Jawatankuasa ini telah mencadangkan
nama KPIM ditukarkan kepada Kadet Putera-Puteri Islam. Walau bagaimana pun nama
pasukan ini ditukar kepada Kadet Remaja Sekolah.
Sementara itu taklimat dan pendedahan kepada
Pengarah-Pengarah Bahagian Pendidikan yang diadakan pada
bulan oktober 1993 dan dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Wan
Mohd Nordin telah membuat keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada Kadet
Remaja Sekolah (KRS) yang bertujuan agar keahliannya terbuka kepada semua kaum
sama ada pelajar lelaki atau perempuan. Upacara Pelancaran KADET REMAJA SEKOLAH
Peringkat Kebangsaan telah dilaksanakan pada 20 Jun 1995 oleh Yang Berhormat
Dato’ Seri Najib Tun Haji Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah
Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment