Kadet Remaja Sekolah atau KRS telah diluluskan penubuhannya
di sekolah-sekolah oleh Jemaah Menteri pada 18 Januari 1995. Pelancaran penubuhannya
pula telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak,
Menteri Pendidikan Malaysia pada 20 Jun 1995. Manakala arahan pelaksanaan Kadet
Remaja Sekolah ini di semua sekolah telah dibuat oleh Bahagian Sekolah
Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 4 / 1995.
Pasukan Tunas KRS ini ditubuhkan bertujuan memberi peluang
kepada semua murid yang tidak menyertai mana-mana pasukan badan beruniform yang
sedia ada di sekolah untuk menyertai pasukan Tunas KRS. Dengan itu semua murid
berpeluang menyertai pasukan pasukan badan beruniform di sekolah. Semenjak
ditubuhkan lebih sedekad yang lalu, penglibatan murid dalam pasukan ini telah
meningkat dari tahun ke tahun. Jumlahnya adalah melebihi bilangan penglibatan murid
dalam mana-mana pasukan badan beruniform yang lain.
Berdasarkan perkembangan ini, pelaksanaan aktiviti pasukan
KRS turut dikembangkan ke peringkat sekolah rendah dengan nama Pasukan Tunas
Kadet Remaja Sekolah atau TKRS. Pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah ini telah
diasaskan pada 15 Mac 1999 dan penubuhan rasminya telah disempurnakan oleh
Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, YB Dato’ Noh b. Omar pada 26 Mac 2006
Dari aspek kepegawaian , kedua-dua pasukan ini menggunakan
sepenuhnya kepakaran dan tenaga guru-guru sekolah sebagai pengurus dan
jurulatih pasukan. Oleh itu berbagai-bagai latihan telah dijalankan kepada
guru-guru tesebut bagi memantapkan lagi pengurusan pasukan ini di seluruh
negara.Pelaksanaan aktiviti Tunas KRS adalah berdasarkan kurikulum yang
berteraskan aspek Disiplin dan Kerohanian disamping 4 elemen utama iaitu
Ketahanan Diri dan Kebudayaan, Keusahawanan, Khidmat Masyarakat dan Alam
Sekitar.
Sepanjang tempoh pelaksanaan aktiviti Tunas KRS, tiada
sebarang peruntukan khas diberikan kepada pasukan ini. Pembiayaan aktiviti
hanyalah melalui peruntukan aktiviti Menengah dan Rendah (kokurikulum –OS42000)
yang amat terhad dan rendah jumlahnya. Oleh itu segala perancangan untuk
membangunkan pasukan ini tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan
berkesan melalui peruntukan yang terhad tersebut. Oleh itu beberapa
permasalahan dapat dikesan seperti berikut;
i. Pembangunan aspek kejurulatihan pasukan.kurang berkesan.
Memandangkan semua jurulatih pasukan TKRS ini adalah terdiri
daripada kalangan guru, maka latihan atau kursus-kursus yang berkaitan dengan
kurikulum dan pengurusan pasukan yang cekap dan sistematik perlu diadakan.
Tetapi disebabkan tiadanya peruntukan khas, maka program ini gagal dilaksanakan
secara berkesan dan objektif di sebalik penubuhan pasukan ini di semua sekolah
seluruh negara tidak akan tercapai sepenuhnya.
ii. Pembangunan fizikal pasukan kurang mantap.
Disebabkan tiadanya peruntukan khas tersebut, menyebabkan
aktiviti pembangunan fizikal pasukan seperti ketiadaan pusat latihan khas,
kekurangan peralatan dan logistik pasukan itu sendiri di peringkat kebangsaan
dan negeri merencatkan program yang dirancang sepanjang tahun.
iii. Salah tanggapan terhadap kualiti pasukan KRS.
Disebabkan tiada peruntukan yang khas diberikan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia kepada pihak pengurusan pasukan ini, segala
urusan perbelanjaan pasukan ditanggung oleh ahli-ahli dan guru-guru pemimpinnya
sendiri di peringkat negeri dan sekolah. Oleh itu timbul salah tanggapan oleh
sesetengah pihak bahawa menyertai pasukan ini perlu mengeluarkan perbelanjaan
yang besar khususnya untuk pembelian pakaian dan segala kelengkapan yang lain.
Pada setiap tahun pasukan TKRS terlibat dalam pelbagai
aktiviti sama ada diperingkat kebangsaan, negeri mahupun daerah seperti
perkhemahan tahunan, pertandingan kawad kaki, kursus kenaikan pangkat dan
kursus-kursus kejurulatihan pegawai. Tanpa sebarang peruntukan khas tersebut,
semua aktiviti ini masih dapat dilaksanakan, namun kejayaannya tidak begitu
memberangsangkan. Demi pembangunan yang lebih mantap, sokongan dari segi
kewangan khas amat diperlukan oleh pasukan ini.
Dicadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan
peruntukan khas yang akan diberikan kepada pasukan TKRS agar dapat
merealisasikan semua aktiviti yang dirancang dengan berkesan melalui
pelaksanaan program dan kursus kejurulatihan kepada pegawai-pegawainya,
penyediaan peralatan dan logistik yang mencukupi serta pengurusan dan
perancangan aktiviti yang mantap. Dengan adanya semua peruntukan ini, usaha
membentuk generasi muda yang yakin diri, berdaya saing, cekap dan bersatupadu
bagi melahirkan insan kamil sesuai dengan kehendak Falsafah Pendidikan
Kebangsaan akan tercapai.
Selain daripada peruntukan kewangan berdasarkan hasil
dapatan kajian, dicadangkan diwujudkan jawatan Pegawai Tadbir KRS secara hakiki
di semua Jabatan Pelajaran Negeri. Disamping memastikan pasukan badan
beruniform Tunas KRS di semua negeri mempunyai sumber logistiknya tersendiri
yang lengkap. Kursus-kursus pemantapan kejurulatihan dilaksananakan dengan
efektif dan berkesan di peringkat negeri dan kebangsaan. Dan akhir sekali
mewujudkan pusat latihan bagi pasukan Tunas KRS di setiap negeri. Belanja
Mengurus pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah dan penstrukturan semula perjawatan
jika diluluskan sudah pasti menjadikan pasukan lebih mantap di setiap negeri
dan setanding dengan pasukan badan beruniform yang lain selaras dengan matlamat
dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
No comments:
Post a Comment